Belenggu harga minyak mentah dunia berterusan apabila harga komoditi itu pertama kali jatuh ke paras USD29 setong Jumaat lalu.
Kemasukan Iran ke dalam pasaran global menyaksikan susutan komoditi itu ke paras terendah dalam tempoh 13 tahun.
Harga minyak mentah Brent kemudian susut ke USD28 dolar setong pada Sabtu susulan pemansuhan sekatan ekonomi ke atas Iran oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)
Bagaimanapun pakar yang dihubungi Astro AWANI, Datuk Dr John Antony Xavier yakin kerajaan masih mampu menepati janji untuk tidak memotong perbelanjaan pembangunan walaupun berdepan susutan harga yang berterusan ini.
Kerajaan akan memotong beberapa geran yang akan diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jadi beberapa projek infrastruktur mungkin diketepikan terlebih dahulu buat masa sekarang,” kata beliau.
Sementara itu mengulas mengenai beberapa perkembangan ekonomi semasa seperti pengesahan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau berkata inisiatif ini lebih menjurus kepada perangsangan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
Menurut John, apa yang akan lebih mempengaruhi harga minyak global adalah faktor seperti pemulihan ekonomi China.
John juga meramal lantunan semula harga minyak kepada paras USD60 setong hanya akan berlaku seawal-awalnya pada tahun 2017.
Menurut beliau, kerajaan kini wajar meletakkan paras harga minyak rujukan baru sekitar USD30 sehingga USD32 setong dalam pengubahsuaian bajet pada 28 Januari ini.
Ini berbanding kadar purata USD48 setong pada pembentangan 2015.
Setakat 4.35 petang Isnin, harga Brent berada pada paras USD28.59 manakala harga West Texas Intermediate (WTI) diletakkan pada USD29.06 setong.